Chapter 1
Bahwa inilah syair yang bernama
SINAR GEMALA MESTIKA ALAM
terhias di dalamnya kisah Maulud Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wa sallam yang amat indah ceritanya Terjemah dengan bahasa Melayu oleh Almarhum Raja Ali Al-Hajj ibni Almarhum Raja Ahmad Al-Hajj ta'amadahu lillahi ta'ala birahmati wa 'ada 'alaina min barakatihi amin
Diterbitkan oleh Mathba'ah Al-Riauwiyah 28 Sya'ban 1311 H/ 5 Maret 1894 M
Bismillahir rahmanir rahim
bismillahi permulaan kalam alhamdulillah Tuhan seru alam selawatkan nabi sayidil anam serta keluarganya sahabat yang ikram
wa ba'duhu kemudian daripada itu faqir mengarang syair suatu kepada Allah mintak perbantu menyudahkan maulud nabi yang ratu
Nabi Muhammad rasul yang mulia ialah penghulu segala dunia barang siapa berimankan dia dunia akhirat mendapat bahagia
bangsanya Quraisy yang utama ayahandanya Abdullah bernama bundanya Aminah nama selama binti Al-Wahab yang seksama
masa dia mengandung nabi-Allah tiadalah berat tiadalah lelah di dalam Mekkah syarafatullah beberapa tanda kemuliaan terjumlah
tatkala bundanya mengandungnya ringan dan senang tiada sakitnya pada suatu masa waktunya antara jaga dengan tidurnya
datanglah malaikat memberi khabar kepada bundanya Aminah muktabar engkau ini buntingkan sayidil basyar nabi yang mulia yang amat besar
tatkala hampir akan bulannya datanglah malaikat mengajarnya beberapa jampi dengan serapahnya memeliharakan daripada kejahatan seterunya
pada awal bulan pertama bermimpilah Aminah perempuan utama nabi-Allah Adam datang menjelma berkatalah ia bersama-sama
katanya hai Aminah yang mulia engkau buntingkan penghulu dunia beranakkan dia tiada sia-sia dunia akhirat mendapat bahagia
bulan kedua bermimpilah serta nabi-Allah Idris memberi berita kepada Aminah ia berkata engkau buntingkan junjungan mahkota
bulan ketiga dikata orang nabi-Allah Nuh datang seorang berkhabarlah ia dengan yang terang nabi dibuntingkan futuh berperang
bulan yang keempat tahun Fil datang kepadanya Ibrahim Al-Khalil berkhabar kepadanya sirr dan qalil engkau buntingkan nabi yang jalil
bulan yang kelima khabar yang tentu nabi-Allah Ismail datang begitu berkhabar juga demikian itu akan kelebihan nabi yang ratu
apabila sampai bulan yang enam nabi-Allah Musa 'alaihis salam datang berkhabar di dalam manam kelebihan nabi sayidil anam
bulan yang ketujuh pula dikata nabi-Allah Daud datanglah serta kepada Aminah memberi warta kelebihan nabi alam semesta
bulan kedelapan nabi Sulaiman datang dengan kesukaan iman memberi khabar yang keterangan buntingkan nabi akhirul zaman
bulan sembilan tidak selisih datang kepadanya Isa al masih ia berkata hai kekasih engkau buntingkan nabi yang fasih
segala nabi yang disebut itu memberi ia khabar yang tentu apabila diperanakkan matahari perbantu namakan Muhammad demikian itu
Allahumma shalli wa sallim 'alaihi
Fasal 1
malam Isnin dua belas harinya dahulu sedikit daripada fajarnya masa diperanakkan oleh bundanya beberapa mukjizat zahir padanya
setengah daripada irhash ikram menerangi cahaya tempat-tempat yang kelam masyrik dan magrib tempat yang balam teranglah cahaya sayidil anam
setengah daripada irhash ter'ala habis tersungkur segala berhala yang disembah oleh kafir yang cela ibadatnya batal tiada pahala
setengah daripada hairan kira-kira bergoncang maligai singgasana Kusra terkejut atasnya hulubalang tentera lenyaplah akal budi bicara
padamlah api yang disembah kufar masa diperanakkan sayidil basyar beberapa lagi irhash yang besar-besar di dalam barzanji berpanjangan khabar
dihias syurga pada malamnya menyerulah segala kainat padanya masyrik dan magrib tiap-tiap pihaknya ahla wa sahla perkataannya
Allahumma shalli wa sallim 'alaihi
Fasal 2
sifat diperanakkan nabi kita terkerat pusat bercelak mata berkhatan memang khabar yang nyata dengan kodrat Tuhan semesta
beberapa lagi khabar yang sah tatkala dibuntingkan bundanya Aminah segala anbiya' memberi basyarah kepada bundanya memberi isyarah
masa diperanakkan junjungan alam hadirlah sertanya Asiah dan Maryam serta bidadari syurga yang ikram datang memuliakan nabi yang 'azam
itulah nabi yang ajaib bin Abdullah bin Abdul Muntallib bin Hasyim bi larib ' bin Abdil Manaf nama Liqaib
nama yang betul Al-Mughirah bin Qusai bin Hakam bin Murrah bin Ka'ab bin Luwai masyhurah bin Ghalib bin Fihar bin Quraisyiyah
keturunan daripada nabi-Allah Ismail bin nabi-Allah Ibrahim al-khalil nabi kekasih ra-izil jalil dunia akhirat dialah zhalil
Allahumma shalli wa sallim 'alaihi
Fasal 3
wafat dahulu ayah bundanya tinggallah ia dengan yatimnya tinggal mamaknya memeliharakannya kata orang Abu Thalib namanya
menyusukan dia beberapa jariyah perempuan yang baik-baik shahbul 'affah setengah daripadanya Tsuaibah al-Aslamiyah setengah daripadanya Halimatus Sa'diyah
mamaknya memeliharakan bersungguh-sungguh makan dan minum ialah merengkuh seumpama menating minyak yang penuh karena ia orang tua senonoh
masa kecilnya beberapa 'ajaibiyah irhash yang nyata mukhaliful 'addah dipayungkan oleh awan yang rendah beberapa lagi ajaib yang indah
seperti tersebut di dalam siarah memberi salam setengah hajarah susu yang hampa jadi mencurah tiadalah payah lagi diperah
ajaib manusia pada masanya melihatkan irhash berbagai macamnya di dalam Mekkah beberapa zamannya tiada pernah seumpamanya
Allahumma shalli wa sallim 'alaihi
Fasal 4
umurnya sampai duabelas 'am dibawa mamanya ke negeri Syam pergi berniaga dagangan bermacam berjual beli siang dan malam
seorang ulama rahib yang ihsan dikenalnya nabi akhirul zaman ia pun terkejut serta hairan keluarlah tuturnya tiada tertahan
aku melihat rasul yang mulia jadi penghulu sekalian dunia Taurat dan Injil menyebutkan dia sifat nubuwahnya nyata sedia
kayu dan batu sujud baginya khatamun-nubuwah antara belikatnya apabila mamanya mendengar khabarnya ia terkejut serta takutnya
lalu disuruhnya hantar pulang takutkan fitnah Yahudi jembalang tiada berapa lamanya berselang mamaknya balik ke negeri terbilang
yaitu Mekkah negeri sendiri sampai ke Mekkah berdiam diri memeliharakan nabi sehari-hari makan dan pakai yang ugahari
Allahumma shalli wa sallim 'alaihi
Fasal 5
apabila sampai umurnya ramuzkah pergi berniaga ke negeri Bashrah membawa modal Siti Khadijah perempuan yang mulia di dalam Mekkah
serta khadamnya Maisyarah namanya dengan nabi disuruhkannya serta beberapa khalifah sertanya daripada Quraisy kaum kerabatnya
apabila sampai ke negeri Bashrah berhentilah nabi pada satu arah bertentangan dengan suatu shauma'ah bagi pendeta nashraniyah
namanya datuk Nastur Nashrani dikenalnya nabi habibur rahmani sebab beberapa pertandaan seni daripada irhash Tuhan rabbani
bersandar kepada kayu hampirnya sudah tersebut di dalam kitabnya tiadalah lain daripadanya melainkan nabi juha mustahiknya
dia pun datang menghormatkan kepada Maisyarah ditanyakan alamat di mata diizahirkan Maisyarah mengata ia bahkan
apabila selesai daripada hal berbalik ke Mekkah nabi yang akmal serta kaumnya berambal-ambal serta keuntungan daripada modal
sekira-kira negeri Mekkah dekat zahirlah pula irhash dahsyat Siti Khadijah ada melihat nabi dinaungi dua orang malaikat
apabila tiba nabi yang syahda berjumpalah dengan Siti yang muda berkhabarlah dagangan untung berganda Siti pun suka di dalam dada
datanglah hidayah yang akbar daripada Tuhan ilahul jabbar kepada Khadijah perempuan ahyar jatuhlah hatinya dengan sebentar
hendak bersuamikan nabi yang muda karena ada kelebihannya ada mukjizat dan irhash beberapa tanda perkhabaran Maisyarah sudah memada
kepada rasulullah dikhabarkannya barang yang dimaksud kepada hatinya bersuamikan jua kehendaknya rihul-iman sudah diciumnya
selesailah nabi mendengarkan peri berangkatlah balik ke rumah sendiri segala mamanya kanan dan kiri berkhabarlah nabi akan hal diri
gemarlah segala mamanya tuan karena Khadijah setinggi-tinggi perempuan di dalam bangsa Quraisy sekalian bangsa dan rupa serta hartawan
pergilah Abu Thalib serta mama meminang Khadijah perempuan utama kepada walinya yang utama tiada tertahan lalu diterima
sudah selesai demikian itu nikah kahwinlah serta bersatu duduklah keduanya beberapa waktu dapatlah anak satu ke satu
Allahumma shalli wa sallim 'alaihi
Fasal 6
tatkala sampai umur empat puluh dibangkitkan Allah jadi pesuruh mendirikan ugama yang amat teguh segala ugama habislah runtuh
tiadalah diterima ilahul 'alam selain daripada ugama Islam dimulai dengan ra-itul manam seperti cahaya falak-ul subhul ikram
hikmatnya jangan ia terperanjat akan melihat malaikat yang hebat yaitu Jibrail malaikat yang kuat jadi suruhan rabbul kainat
kemudian daripada itu halnya menjauhkan diri daripada kampungnya suka bersunyi seorang dirinya di bukit Hira' konon khabarnya
bagi Bukhari punya perkataan di jabal Hira' kira-kira sebulan li ibni Ishaq pada bulan ramadhan keduanya itu riwayat handalan
pada malam tujuh belas lailatul qadriyah malaikat Jibril pun datanglah katanya iqra' makna bacalah jawab nabi yang dibaca apalah
dipeluk Jibrail serta dipicitnya katanya iqra' dengan sesungguhnya dijawab bagaimana bacaannya dipeluk Jibrail serta diajarnya
katanya iqra' bismirabbika membacalah nabi tiadalah leka kemudian dari itu beberapa ketika
kemudian Jibrail datang semula membawa firman Allah ta'ala ya ayyuhal mudatsir dibacakan pula kemudian yang lain Quran yang a'la
Allahumma shalli wa sallim 'alaihi
Fasal 7
nabi pun berhadap kepada kaumnya membawa firman amar nahinya kebanyakan Quraisy mendustakannya melainkan Abu Bakar membenarkannya
setengah Quraisy membenarkannya mana-mana yang terdahulu pada azalnya membenarkannya bersungguh hatinya tiadalah takut atau gentarnya
seperti Ali karamullahu-wajhah dan perempuannya Siti Khadijah dan Zaid bin Haritsah demikian Bilal ibni Rabbah
kemudian Usman bin Thalhah dan Sa'ad dan Sa'id kedua bertuah dan ibni 'Auf ibni Shafiah dan lain daripada Quraisyiyah
dan lain mana-mana untung janji masuklah ia ugama terpuji ditinggalkannya ugama yang keji mengikut ugama shahibul furaji
mana-mana yang disesatkan Allah seperti Abu Jahal laknatullah akan nabi didustakannyalah jadilah syaitan seteru Allah
nabi sebagai jua menyeru tiada diperdulikan bapa dan ibu tiadalah takut langgar dan serbu seumpama tetap kota dan kubu
lain daripada itu beberapa pula suruh dan larang Allah ta'ala di dalam Quran 'azza wa jalla perintahan yang baik tiada cela
Allahumma shalli wa sallim 'alaihi
Fasal 8
apabila dizahirkan olehnya nabi ugama Islam yang terpuji mendustakan kaumnya ahlil-makki menyakiti dengan sumpah dan maki
tiada diindahkan nabi Muhammad bersungguh-sungguh juga mengajar ummat melepaskan daripada kafir zhalalat di negeri akhirat boleh selamat
tiadalah mereka itu mengindahkan dia diperbuatnya juga perbuatan sia-sia menyakitkan nabi beberapa bahaya sampai dilontarnya nabi yang mulia
di dalam hal yang demikian itu diperintahkan oleh Tuhan yang satu mikraj ke langit khabar yang tentu mukjizat yang besar demikian itu
apabila mati Abu Thalib mamanya serta Khadijah isterinya kesakitanlah muslimin sekaliannya beberapa kesusahan ditanggungnya
di dalam tiada beberapa lama berpindahlah nabi Muhammad ternama ke negeri Madinah yang utama di situlah bertambah keras ugama
ketika itu teranglah kelam tampak tingginya ugama Islam tampak kehinaan kafir yang tenggelam berhujah berperang mukanya hiram
perang Badar permulaannya perang Uhud kemudiannya perang Khandaq mengiringinya perang Khaibar pula di belakangnya
tiap-tiap perang nabi yang mulia si kafir juga mendapat bahaya terbunuh tertawan dijadikan sahaya Islam juga mendapat bahagia
sebab nabi rasul yang benar mukjizatnya Quran yang amat besar khabar yang gaib khabar izhar semuanya berbetulan dengannya khabar
ugama Islam kekal berdiri ilal akir yaumid dahari mansuh sekalian ugama yang bahari Yahudi Nasrani demikain peri
hingga sampai pada khalifahnya mendirikan ugama sangat teguhnya Syam dan Rum, Parsi sertanya dilanggar diperang dikalahkannya
sebab berperang ugama yang mulbih nabi Muhammad lisanul fasih hatinya suci sangatlah bersih akan dunia tiada ia kasih
sifat kepujian dihimpun kepadanya sifat kecelaan jauh daripadanya hai segala kamu umatnya ikut olehmu akan jalannya
serta kasih akan dianya sukakan olehmu mendengar kisahnya apalagi bulan mauludnya harus dibesarkan itu waktunya
seperti makan minum ugahari jangan yang berat menyakiti diri menzahirkan kesukaan demikian peri kepada ahlil Islam masyhuri
karena beberapa negeri yang besar mengerjakan maulud sayidil basyar tiada ada ulama yang ingkar karena adat hasanah yang benar
tamatlah syair maulud ini bahasa Melayu di sebelah sini aku mukhtasarkan hai ikhwani kuambil waqa'ahnya sahaja begini
ini doa dimelayukan adanya
ayuhai nabi rasul yang mulia harapkan syafa'at kita kan dia pada mahsyar berhimpun manusia menghukumkan kita Tuhan yang kaya
ayuhai nabi junjunganku tiadalah lain pengharapan aku hanyalah tuan mahkotaku melepaskan dari kejahatan laku
ayuhai nabi kami Muhammad tuan-hambalah nabi kasihkan umat syafa'atkan kami hari kiamat daripada huruhara yang amat azmat
Allahumma shalli wa sallim 'alaihi
tamatlah syair maulud ini dikalimahkan dengan bahasa Melayu
kemudian daripada demikian itu di akhir nin ada pesan suatu kepada pembaca syair nin tentu sebarang maklum tuan di situ
pesanan nazir di mathba'ah ini kepada sekalian sahabat ikhwani syair yang sudah dithaba' di sini yang lain tak boleh membuat begini
tiada diizinkan selama-lamanya mathba'ah yang lain mencetak dianya tertentulah mathba'ah yang punya bersalahan membeli berapa ratusnya
karena itulah segala ikhwan bolehlah beli wahai bangsawan baik laki-laki atau perempuan membacanya boleh menghiburkan rawan
harganya murah sudahlah esah tuan tiada berkeluh kesah belilah tuan ahlil-madrasah syair nabi empunya kisah
gemala mestika syair bernama diterjemahkan sudah beberapa lama inilah syair yang terutama kisah al-nabi rasul seksama
bahasa Melayu disyairkan sudah sekalian kita tidaklah gundah mencari pahamnya jadilah mudah tiada panjang tunduk tengadah
bersalahan bahasa Arab Kharsani sukar dabitnya kita di sini bahasa Melayu demikian ini mesra pahamnya boleh dijalani
hingga inilah pesanan beta kepada pembaca sekalian rata kemudian salam hamba berserta tamat al-kalam hamba berkata
Published by Mathba'ah al-Riauwiyah Sha'ban 28th, 1311 H/ March 5th, 1894 A.D.
http://www.rajaalihaji.com/en/works.php?a=Ny9lL3c%3D=